ADAB=ADAB PERSAUDARAAN ISLAM 1

Persaudaraan Islam adalah persaudaraan yang istimewa. Ini adalah persaudaraan yang tidak terikat oleh kaum, kewarganegaraan, asal-usul ataupun keturunan.

Ini adalah persaudaraan yang diikat oleh tauhid. Setiap insan yang beriman kepada Allah, maka mereka semua adalah saudara untuk satu dengan yang lain.
Allah azza wajal telah memberitahu kepada kita bahawa persaudaraan sesama mukminin adalah satu perintahNya. FirmanNya: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.." (Al-Hujuraat: 10)

Persaudaraan Islam adalah sesama muslim sahaja. Tapi ini tidak bermakna kita boleh menterhadkan saudara seislam kita hanya dengan mereka yang rapat dengan kita, atau dengan mereka yang sama-sama dalam jemaah kita. Ini adalah satu pemahaman yang keliru.

Sesiapa sahaja yang beragama Islam adalah dikira sebagai saudara kita, dan kita wajar berakhlak dengan mereka sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya.

Rasulullah s.a.w juga telah memerintahkan kepada kita agar kita tidak mengambil orang kafir sebagai sahabat: "Janganlah engkau bersahabat kecuali dengan orang mukmin" (Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban. Lihat: Sahihul Jami')

Jadi tidak dibenarkan bersahabat dengan orang kafir, kecuali hanya sekadar kenalan, dituntut untuk berbaik-baik dan berlaku adil kepada mereka serta hanya membantu mereka untuk hal-hal yang baik sahaja. Allah ta'ala berfirman: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Al-Mumtahanah: 8)

Sesungguhnya bersikap ihsan dalam segala hal adalah satu tuntutan agama.


Adab-Adab Persaudaraan Islam

Terdapat banyak adab yang dituntut dalam Al-Quran dan As-Sunnah berkenaan hal ini. Di sini saya cuba sertakan beberapa daripadanya.

1. Khabarkan kepada saudaranya bahawa dia mencintainya kerana Allah

Berkenaan dengan hal ini, mari kita renungi sabda Rasulullah s.a.w: "Jika salah seorang daripada kamu mencintai saudaranya, hendaklah ia memberitahu kepadanya bahwa dia mencintainya" (Ahmad, Abu Daud, Al-Hakim, Ibnu Hibban. Lihat: Sahihul Jami')

Dalam hadith yang lain, ada disebut "mencintainya kerana Allah" (uhibbuhu fillah). Lihatlah akhlak yang mulia ini, cukup indah sekali! Syeikh Abdul Aziz Fathi As-Sayyid Nada memberi komen tentang hal ini: "Selayaknya seorang muslim tidak merasa segan atau malu untuk menghidupkan sunnah Nabi musthofa s.a.w, menyebarkannya dan menampakkannya di tengah-tengah manusia. Bahkan, ini merupakan amal soleh yang sangat agung, yang akan terus mengalirkan pahala baginya." (Mansuu'atul Aadaab Al-Islamiyyah)


2. Mengucapkan salam

Hal ini ada disebutkan dalam hadith berikut, telah bersabda Rasulullah s.a.w: Hak muslim atas muslim yang lainnya ada enam. Para sahabat bertanya: "Apa sahaja, wahai Rasulullah?. Berkata Rasulullah s.a.w: "Ucapkan salam jika berjumpa denganya. Jika ia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya. Jika dia meminta nasihat, maka berilah nasihat. Jika dia bersin dan memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), maka ucapkanlah tasymit (Yarhamukumullah). Jika ia sakit, maka jenguklah dia. Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya" (Muslim)

Ucapkan salam adalah perkara pertama yang disebut dalam enam hak muslim kepada muslim yang lainnya. Sebab itu sangatlah kita perlu membiasakan memberikan ucapan salam dan membalasnya. Ucapkan ia dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh.


3. Memenuhi undangan

Berdasarkan hadith di atas tadi, ada disebut bahawa memenuhi undangan adalah hak yang perlu disempurnakan. Sekalipun kita berpuasa, kita harus cuba memenuhi undangan yang diterima. Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika salah seorang daripada kamu diundang, hendaklah ia memenuhi undangan tersebut. Jika dia sedang berpuasa (sunnah), hendaklah ia mendoakan pihak pengundang. Jika dia tidak berpuasa, maka makanlah" (Muslim)

Namun demikian, sekiranya kita benar-benar tidak mampu untuk hadir, seperti tidak sihat ataupun kerana berada terlalu jauh daripada majlis undangan hingga mustahil untuk dapat hadir, sebaiknya maklumkan kepada tuan rumah tentang hal ini dan kemudian bolehlah untuk tidak hadir. Selain itu, menurut penjelasan Al-Ustaz Abu Bakr Jabir Al-Jazairi, jika majlis tersebut boleh memberi mudarat kepada agama atau tubuh badan seseorang, maka undangan tersebut boleh ditolak. (Minhajul Muslim)


Followers

radio



.: Frenzy.Fm :.
Mesti Gempak Punya!~

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP